Monday, August 9, 2010
Saturday, August 7, 2010
Sunday, March 21, 2010
Tuesday, March 16, 2010
Thursday, March 11, 2010
Sumber Perubatan
1. Tumbuhan semula jadi telah lama menjadi ubatan tradisional.
2. Akar, kulit, ranting dan buah daripada tumbuhan semula jadi tertentu dapat dijadikan bahan ubat.
3. Terdapat kira-kira 1 158 spesies tumbuhan yang dapat digunakan sebagai bahan ubat di hutan Malaysia seperti tongkat Ali, senduduk, pulai, kasip Fatimah, halia liar, cekur dan gelenggang.
Industri Ekopelancongan
1. Taman negara dan hutan simpan diwujudkan untuk melindungi pelbagai spesies flora dan fauna daripada kepupusan.
2. Taman negara dan hutan simpan ini juga dibangunkan sebagai tempat rekreasi dan pusat pelancongan.
3. Keindahan alam semula jadi, keadaan yang nyaman dan pelbagai jenis flora dan fauna yang unik menjadi daya tarikan pelancong.
4. Kerajaan membangunkan industri ekopelancongan untuk menambahkan sumber pendapatan negara.
5. Kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk menarik pelancong ialah:
(a) tempat penginapan
(b) tempat perkhemahan
(c) kolam mandi semula jadi.
6. Aktiviti pelancongan yang boleh didapati ialah:(a) meredah hutan;(b) mendaki gunung; dan(c) berkayak.
Penghalang Hakisan
1. Hutan memainkan peranan penting dalam mencegah hakisan tanah.
2. Hutan bertindak sebagai penutup bumi semula jadi dan melindungi tanah daripada hakisan air dan angin.
3. Lapisan kanopi yang berdaun rimbun telah mengurangkan hakisan hujan.
4. Daun-daun pokok berfungsi memecahkan butiran hujan dan memperlahankan kelajuan titisan air hujan.
5. Litupan daun dan sarap di atas permukaan tanah juga merendahkan hakisan air larian. Lihat rajah di bawah.
6. Akar-akar pokok berfungsi untuk mencengkam tanih dan menahannya daripada dihakis oleh air.
7. Rumput dan pokok-pokok renek yang tumbuh di permukaan lantai hutan akan turut melindungi tanih daripada dihakis.
8. Kawasan yang tidak diliputi tumbuh-tumbuhan mudah mengalami hakisan tanah.
9. Tanih yang terhakis akan dibawa ke sungai dan menyebabkan dasar sungai menjadi cetek.
10. Di kawasan paya air masin, pokok-pokok bakau dapat menghalang tindakan hakisan oleh air laut.
11. Akar pokok bakau menguatkan struktur tanah serta menahan tindakan ombak di pinggir laut.
Kawasan Tadahan Hujan
1. Hutan di kawasan tanah tinggi penting sebagai kawasan tadahan hujan.
2. Hutan ini merupakan kawasan yang luas untuk menadah dan mengumpulkan air ketika hujan.
3. Hutan bertindak sepagai span berongga yang besar yang menyerap serta menapis air lalu mengalirkannya perlahan-perlahan ke anak sungai, empangan, kolam dan tasik.
4. Contohnya, kawasan hutan Padang terap, Sik dan Baling di Kedah yang seluas 160 000 hektar itu merupakan kawasan tadahan hujan bagi Empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris.
5. Air daripada empangan ini menjadi sumber bekalan air yang utama di seluruh negeri Kedah.
6. Air yang diserap ke dalam tanah di kawasan hutan ini ditapis secara semula jadi.
7. Air yang sangat bersih dan jernih ini akan keluar ke permukaan tanah sebagai mata air. Air ini ada yang dibotolkan secara komersial sebagai air mineral.
8. Air dari sungai atau empangan perlu ditapis dan dibersihkan untuk menjamin kebersihannya sebelum disalurkan ke rumah-rumah.
Tempat Perlindungan Hidupan Liar
1. Beberapa kawasan hutan di Malaysia dijadikan kawasan perlindungan hidupan liar khusus untuk haiwan-haiwan yang hampir pupus.
2. Hutan Simpan Kabili, Sepilok di Sabah dan Hutan Simpan Semenggok di Sarawak dijadikan tempat perlindungan orang utan.
3. Hutan Endau-Rompin di Johor dijadikan tempat perlindungan badak sumbu.
4. Taman Negara Mulu di Sarawak dan Hutan Belum di Perak menjadi tempat perlindungan bagi segala hidupan liar.
Pembiakan Hidupan Laut
1. Akar-akar pokok bakau di hutan paya air masin tumbuh rapat-rapat dan banyak.
2. Keadaan ini mengurangkan hakisan ombak di kawasan muara sungai dan pinggir laut.
3. Di celah-celah akar pokok bakau, pelbagai hidupan laut dapat berlindung daripada ombak yang kuat.
4. Di sini, anak-anak ikan dapat juga bersembunyi dan mengelakkan diri daripada dimakan oleh hidupan laut yang lain.
5. Oleh itu, kawasan ini menjadi tempat hudipan laut seperti ikan, udang, ketam dan siput untuk bertelur dan membiak.
6. Di kawasan ini terdapat banyak ketam uca dan ikan belacak.
7. Tanih kawasan ini terdiri daripada lumpur, tanah liat dan bahan-bahan reput.
8. Reputan daripada tumbuhan dan haiwan yang mati dalam ekosistem akan menjadi nutrien sebagai makanan asas dalam rantaian makana bagi kebanyakan hidupan laut.
Sumber Perhutanan
1. Kayu keras dari pokok cengal, merbau, nyatoh, bitis, dan kempas yang banyak terdapat di hutan hujan tropika digunakan untuk membuat perabot dan industri pembinaan.
2. Kayu keras ini digunakan juga untuk membuat kerangka rumah dan kapal.
3. Kayu keras yang mempunyai nilai tinggi dieksport dalam bentuk dan balak gergaji, kayu gergaji papan lapis.
4. Sabah adalah pengeluar kayu balak terbesar di Malaysia.
5. Di Sabah, kayu balak dieksport melalui Sandakan dan Tawau.
6. Negara pengimport utama kayu balak Malaysia termasuk Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Amerika Syarikat.
7. Damar daripada pokok damar minyak dapat dibuat varnis dan perekat.
8. Getah pokok kulim dapat dijadikan bahan untuk bau-bauan.
9. Daun pokok nipah dapat dibuat atap.
10. Mengkuang dan rotan dapat dijadikan bahan untuk kraftangan dan perabot.
11. Kayu bakau digunakan sebagai cerucuk dalam industri pembinaan.
12. Pokok bakau juga digunakan dalam industri menyamak kulit binatang (kulit tumbuhan).
13. Jenis kualiti kayu bakau yang sangat baik dibuat kayu arang (bahan bakar) yang berkualiti tinggi.
14. Batang nibung dibuat tiang rumah dan kelong.
15. Tumbuh-tumbuhan seperti keladi liar, buah durian, buah tampoi, petai, kerdas dan perah menjadi sumber makanan kepada orang asli dan masyarakat.
Wednesday, March 10, 2010
Habitat Flora dan Fauna
1. Hutan Malaysia mempunyai kepelbagaian hidupan atau biodiversiti serta menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna.
2. Terdapat 8 000 spesies bunga dan 2 600 spesies pokok kayu di hutan Malaysia.
3. Terdapat 280 spesies mamalia, 600 spesies burung dan 140 spesies ular, 165 spesies katak dan 1 000 spesies rama-rama.
4. Di antara spesies-spesies flora dan fauna ini ada yang tidak dapat ditemukan di negara-negara lain.
Ekosistem
Ekosistem
2. Komponen benda bukan hidup terdiri daripada tanih, air, udara dan cahaya matahari.
3. Komponen ini menyediakan persekitaran luar bagi komponen benda hidup.
4. Komponen benda hidup terdiri daripada semua spesies tumbuhan dan haiwan yang hidup dalam persekitaran ini.
5. Rajah dibawah menunjukkan ekosistem di sebuah hutan hujan tropika.
6. Dalam ekosistem ini, benda hidup saling bergantung antara satu dengan lain. benda hidup bertindak balas juga dengan benda bukan hidup.
7. Tumbuhan hijau memerlukan tanah, air, udara, karbon dioksida dan cahaya matahari untuk membuat makanannya sendiri melalui proses fotosintesis.
8. Oksigen yang dilepaskan melalui proses fotosintesis adalah penting kepada haiwan untuk pernafasan.
9. Haiwan seperti arnab adalah sejenis herbivor yang memakan rumput dan daun.
10. Arnab dijadikan makanan kepada haiwan karnivor seperti musang dan harimau.
11. Arnab, musang dan harimau adalah pengguna dalam ekosistem ini.
12. Apabila haiwan-haiwan ini mati, pengurai seperti kulat dan bakteria akan bertindak mereputkan bangkainya.
13. Bahan yang terurai menjadi nutrien yang menyuburkan tanih.
14. Peranan pengurai adalah sebagai penukar.
15. Nutrien yang dihasilkan itu akan diserap oleh tumbuhan sebagai sumber bahan untuk membuat makanannya.
16. Oleh itu, peranan tumbuhan sebagai pengeluar adalah sangat penting.
17. Penebangan tumbuhan semula jadi akan menyebabkan kekurangan sumber makanan.
18. Tumbuhan menjadi makanan kepada haiwan. Peranan tumbuhan ini disebut sebagai pengeluar.
Hutan Dan Kegunaannya
MEMBEKALKAN GAS OKSIGEN KE ATMOSFERA
Salah satu kepentingan hutan yang paling utama ialah membekalkan gas
oksigen ke atmosfera yang diperlukan oleh manusia dan juga haiwan. Ia juga turut mengimbangi kandungan gas di udara.
Semasa proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan mengggunakan gas karbon dioksida untuk membuat makanan dan membebaskan gas oksigen sebagai bahan buangan. Manakala, manusia dan haiwan pula membebaskan gas karbon dioksida dan menggunakan gas oksigen semasa proses respirasi. Proses respirasi dan fotosintesis menunjukkan saling kebergantungan di antara manusia dan haiwan dengan tumbuh-tumbuhan untuk terus hidup. Proses ini berlaku secara berulang-ulang, menyebabkan bekalan oksigen dalam udara sentiasa mencukupi untuk kegunaan kehidupan seperti proses pernafasan dan membantu pembakaran. Jika hutan tiada, sudah pasti gas karbon dioksida akan menjadi berlebihan dalam udara yang menyebabkan berlakunya peningkatan suhu udara dan membawa kesan buruk kepada manusia dan hidupan liar.
HABITAT SEMULA JADI HIDUPAN LIAR
Pelbagai jenis hidupan liar hidup di kawasan hutan kerana hutan
menyediakan sumber makanan yang diperlukan oleh haiwan. Hutan juga merupakan tempat perlindungan dan pembiakan bagi hidupan liar. Hidupan liar pada amnya didefinisikan sebagai merangkumi kesemua haiwan liar daripada kumpulan mamalia, reptilia, amfibia, burung, ikan, invertebrata, termasuk juga tumbuh-tumbuhan liar.
Hutan membekalkan makanan kepada haiwan yang memakan daun, buah-buahan, putik bunga, bijian, pucuk, dan pelbagai bahagian lain pokok. Manakala haiwan jenis karnivor dapat hidup kerana tumbuhan semula jadi membantu pembiakan haiwan herbivor. Kewujudan rantaian makanan sememangnya menjadi satu lumrah kehidupan bagi hidupan mansa dan pemangsa.
Contohnya, menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati hutan di Malaysia menjadi habitat 3000 spesies tumbuhan berbunga, dan 2500 daripadanya adalah dari jenis berpokok kerana di hutan tumbuhan dapat hidup disebabkan kesuburan tanahnya. Tumbuhan ini adalah unik kerana ia tidak ditemui di mana-mana pelusuk dunia kecuali di Malaysia. Bagi melengkapkan ekosistem, haiwan telah menjadi penghuni setia hutan belantara ini. Terdapat sejumlah 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 30 spesies katak, dan 80 spesies cicak. Serangga pula merupakan komuniti haiwan yang terbesar di mana sesetengah kumpulan mengandungi lebih daripada 1000 spesies.
MENYEIMBANGKAN MIKRO IKLIM SESUATU TEMPAT
Memang tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan semula jadi di hutan mempunyai pengaruh ke atas keadaan cuaca dan iklim sesuatu tempat kerana pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan mampu mengubahsuaikan iklim mikro sesuatu tempat.
Melalui proses transpirasi, air dari tanah melalui tumbuh-tumbuhan akan terserap ke udara dan air di permukaan daun juga akan tersejat ke udara dan ini menambahkan lagi kelembapan udara. Ini kerana pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan mengawal sinaran matahari melalui proses serapan, pemantulan dan pemindahan. Pada hari yang panas, sebatang pokok mungkin menyerap beratus-ratus liter air dari tanah dan kebanyakannya akan tersejat ke atmosfera. Ini sudah pasti akan memberikan kesan penyejukan kepada kawasan sekitarnya. Secara bandingannnya, suhu di kawasan hutan adalah lebih rendah kerana litupan tumbuh-tumbuhan yang banyak.
Di samping itu, pertambahan oksigen di atmosfera bumi yang berpunca daripada prosese fotosintesis akan memastikan pengurangan karbon dioksida secara tidak langsung. Ini kemudiannya dapat mengurangkan risiko berlakunya fenomena "kesan rumah kaca" atau "kesan rumah hijau". Dengan itu, peningkatan suhu bumi dapat dikawal.
Hal yang sama terjadi di bandar-bandar besar, di mana hutan sangat berguna sebagai agen pembersih udara kerana daun-daun dan dahan-dahan pokok bertindak sebagai penyaring udara kotor. Hal ini menunjukkan bahawa hutan mampu mengimbangi iklim sesuatu kawasan di samping merendahkan suhu dan menyamankan udara berbanding dengan kawasan yang hutannnya telah ditebang. Biasanya suhu adalah lebih tinggi dan kawasan tersebut menjadi lebih panas.
KAWASAN TADAHAN AIR HUJAN DAN MENCEGAH HAKISAN
Hutan juga berperanan sebagai kawasan tadahan air hujan dan mencegah hakisan tanah. Hutan adalah pengawal aliran air yang berkesan kerana hutan berfungsi seperti span besar yang menyerap air di hutan pada musim hujan dan mengalirkannya perlahan-lahan ke dalam anak sungai. Seterusnya bertindak sebagai penuras yang menapis air hujan bagi memastikan air bersih dan jernih mengalir ke kawasan tadahan.
Fungsi yang penting ini tidak dapat diganti oleh oleh tanaman seperti getah dan kelapa sawit. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa pengaliran air di permukaan di kawasan getah dan kelapa sawit adalah lebih deras berbanding di kawasan berhutan.
Contohnya, krisis kekurangan air yang berlaku di Melaka pada tahun 1992 adalah disebabkan 80% kawasan tadahan Empangan Durian Tunggal telah ditanam dengan getah dan kelapa sawit. Kekurangan lapisan hutan telah menyebabkan pengaliran
air yang tidak sekata ke Sungai Bakung dan Sungai Air Putih. Akibatnya, sedikit sahaja air yang mengalir ke kawasan tadahan Durian Tunggal, Melaka.
Hutan juga dapat mencegah hakisan tanah kerana daun-daun dan dahan-dahan pokok menyekat air hujan lalu melambatkan kadar kelajuan air hujan yang jatuh ke permukaan bumi. Akar-akar pokok pula dapat menyerap air hujan di samping mencengkam tanah dan memperkukuhkan tanah supaya sukar dihakis.
SUMBER MAKANAN
Di hutan banyak terdapat buah-buahan liar yang boleh dimakan dan selalunya dikumpulkan oleh masyarakat tempatan sebagai sumber makanan. Di negeri Sabah misalnya, terdapat kira-kira 200 spesies tumbuhan hutan yang boleh di makan buahnya.
Antara contoh buah-buahan hutan yang sedia popular di Malaysia amnya pada masa kini tetapi masih belum ditanam secara meluas ialah kelubi (Zalacca conferta), salak hutan (Z. affinis), petai (Pithecellobium jajanica dan P. singularis), keredas (P. bubalinum), dan jering (P. jiringa). Untuk buah-buahan ini, hutan masih menjadi sumber utama bagi mendapatkannya. Malah banyak buah-buahan yang telah ditanam berasal daripada waris liar dari hutan tropika, contohnya durian (Durio zibethinus), rambutan (Nephelium lappaceum), langsat/duku (Lansium domesticum), dan mangggis (Garcinia mangastana). Di Sabah, banyak buah-buahan yang terdapat di pasaran berasal dari hutan dan belum ditanam secara meluas. Antaranya ialah terap (Artocarpus odoratissimus), bambangan (Mangifera decandra), beluno (M. caesia), liposu (Baccaurea angulata), dan kembang semangkuk (Scaphium macropodum).
Selain buah-buahan, ulam juga menjadi bahan makanan yang penting sebagai sumber vitamin dan juga sumber ubatan masyarakat tempatan. Contohnya daun kadok (Piper sarmentosum), daun pegaga (Hydrocotyle asiatica), putat (Barringtonia spp), selom (Oenanthe javanica), menkudu (Morinda elliptica), cekur (Sauropus androgynus), ulam raja (Cosmos caudatus), kantan (Phaeomaria speciosa), dan daun kesom (Polygonum minus) adalah antara ulam yang paling popular. Di hutan di Malaysia terdapat lebih 50 jenis ulam yang sesuai sebagai bahan makanan tetapi kurang popular.
SUMBER KAYU-KAYAN, ROTAN, DAN BULUH
Kawasan hutan mempunyai pelbagai sumber bahan mentah yang boleh digunakan oleh manusia. Melalui hutan, manusia boleh memperolehi hasil-hasil hutan seperti kayu balak, buluh, rotan dan sebagainya yang boleh membantu kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana hasil-hasil hutan tersebut mempunyai nilai komersial pada masa kini dan permintaan terhadap hasil-hasil hutan tersebut begitu tinggi sama ada pasaran tempatan mahupun luar negeri.
Kewujudan pelbagai spesies tumbuhan berpokok di hutan menunjukkan hutan sememangnya kaya dengan kayu-kayannya. Misalnya, balak merupakan hasil hutan yang terpenting dan berharga pada masa kini kerana ia merupakan kegiatan ekonomi yang penting bagi setiap negara seperti Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia, India, dan Filipina. Antara jenis kayu balak yang mendapat nilai kemersial adalah sperti jati, keruing, cengal, merbau, penaga, keledang, dan balau. Kayu-kayu balak yang dihasilkan terdiri daripada kayu keras dan lembut. Pengeluar kayu balak keras yang terbesar di dunia ialah Malaysia dan Indonesia. Manakala bahagian Asia Utara (Rusia) adalah pengeluar kayu balak lembut yang utama di dunia. Kegunaan hasil balaknya adalah untuk membuat bangunan atau rumah, landasan kerta api, alat-alat perabot, papan lapis, kertas dan lain-lain lagi.
Di samping itu, hutan juga merupakan sumber hasil-hasil hutan yang lain seperti rotan, buluh, mengkuang, dan lain-lain lagi. Di Asia Tenggara contohnya, kira-kira 20 spesies rotan dianggap sebagai spesies komersial yng berharga. Kesemua spesies yang digunakan dalam industri adalah daripada genus Calamus yang mempunyai kira-kira 60 spesies kesemuanya. Rotan sangat bernilai terutamanya kepada industri perabot dan kraftangan. Negara-negara di Asia Tenggara dianggarkan mengeksport rotan bernilai kira-kira US$60 juta setahun, 90% daripadanya adalah oleh Indonesia. Ini tidak termasuk jumlah hasil siap guna seperti perabot, yang dianggarkan bernilai US$4 bilion setahun, menjadikan hasilan yang kedua penting selepas kayu-kayn dan balak.
Selain rotan, terdapat hasil hutan lain yang sangat bernilai. Antaranya ialah kayu gaharu atau karas yang digunakan sebagai bahan pewangi. Harga sebatang kayu gaharu (gred 4) boleh mencapai $25 000 (pada kadar $2 per g). Selain kayu gaharu terdapat beberapa spesies kayu hutan lain yang dapat mengeluarkan minyak pewangi dan berpotensi sebagai bahan dagangan.
SUMBER TUMBUHAN UBAT-UBATAN
Hutan bukan sahaja menjadi sumber pembekal bahan makanan dan pembinaan tetapi juga menjadi sumber tumbuhan ubat-ubatan yang berharga. Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama berkembang sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Contohnya, Pertubuhan Kesatuan Sedunia menganggarkan kira-kira 70-80% dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas. Manakala di China sistem tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40% daripada masalah kesihatan dan penjagaan kesihatan.
Negara China, India dan Indonesia telah lama mempelopori bidang perubatan tradisional dan memajukan tumbuhan ubat-ubatan sebagai industri. Di China misalnya, perubatan tradisional yang banyak menggunakan sumber tumbuhan sudah mengakar lebih dari 5000 tahun. Di India dengan Ayurvedanya, sejumlah 8000 herba sudah dikenal pasti berupaya memgubati penyakit sejak berabad-abad lampau. Begitu juga di Malaysia, turut memiliki tidak kurang dari 7000 spesies tumbuhan yang dikira dapat menghasilkan unsur-unsur perubatan.
Hutan sememangnya merupakan gedung semula jadi yang memainkan perana penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden.Sebelum perkembangan kimia sintesis di akhir abad yang lepas, penyediaan ubat-ubatan moden dari tumbuhan hanyalah menerusi prosese pengekstrakan bahan-bahan aktif dari tumbuhan tersebut. Setelah kimia sintesis berkembang, bahan-bahan aktif dari tumbuhan telah disintesis secara separa atau sepenuhnya dan analog baru yang lebih berkesan dan selamat juga telah berjaya dikeluarkan. Tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan moden menerima saingan yang kuat daripada ubat-ubatan sintetik dan pada suatu masa seolah-olah kesemua ubat moden boleh didapati dari sumber sintetik. Walau bagaimanapun tumbuhan ubatan tetap mempunyai peranan di dalam pembangunan ubat-ubatan moden menerusi cara-cara berikut :
Sebagai sumber terus ubat-ubatan moden seperti murfina, strofantin, atrofin, dan digitoksin.
Sebagai sumber bahan mula untuk sintesis ubat-ubatan yang lebih berkesan dan lebih selamat.
Sebagai model bahan bioaktif untuk program sintesis ubat-ubatan moden.
Oleh yang demikain timbuhan ubat-ubatan memainkan peranan yang penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden yang baru. Kebanyakan ubat-ubatan moden yang telah disintesis berasal daripada bahan-bahan aktif tumbuhan.
Kepentingan tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan moden tidak boleh disangkal lagi. Pada masa ini, terdapat 121 jenis ubat moden yang telah berjaya dihasilkan daripada 95 spesies tumbuhan dan sebahagian besar daripadanya masih tidak dapat dihasilkan secara sintetik. Kini sebanyak 23 jenis ubatan moden daripada 45 ubat-ubatan moden yang dikaji daripada Hutan Hujan Tropika telah diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA) untuk penggunaan di Amerika Syarikat.
Di antara bahan terpenting yang digunakan oleh perubatan moden ialah alkaloid - biokompaun yang dihasilkan oleh banyak kategori tumbuh-tumbuhan. Biom hutan tropika contohnya mengandungi bilangan tumbuh-tumbuhan beralkaloid terbanyak dan pada kepekatan tertinggi berbanding man-mana biom lain. Alkaloid tumbuh-tumbuhan mempunyai aplikasi perubatan, ini termasuklah dalam penghasilan kokain, kuinin, kafein, nikotin, efedrin, dan reserpin. Alkaloid yang paling terkenal barangkali ialah vinkristin dan vinblastin. Alkaloid ini adalah hasil derivatif sejenis bunga tropika , "rosy periwinkle" atau dikenali sebagai kemunting Cina atau tapak dara yang mempunyai 2 jenis iaitu satu berbunga merah jambu dan satu lagi berwarna putih. Pohon ini berkerabat dengan pohon Madagaskar Periwnkle (Catharantus roseus G Don). Ia memberi peluang sembuh 80% kepada kanak-kanak yang menghidap sakit leukimia. Kedua-duanya juga digunakan secara meluas di dalam rawatan kanser payudara, rahim, dan testikular. "Rosy Periwinkle" diketahui dari bomoh-bumoh asli di Madagascar dan Jamaica. Ubat yang dihasilkan dari tumbhan ini mencapai nilai US$90 bilion pada tahun 1970 dan dianggarkan jumlah ini meningkat 15% setiap tahun.
Selain itu, kalanolida dan kastatolida dan terbitannya dari pokok bintagor (Calophyllum lanigerum) yang mempunyai anti-AIDS dan "taxol" Daripada Taxus brevifolia untuk mengubat barah. Sekurang-kurangnya 1400 spesies tumbuhan tropika dipercayai berpotensi untuk rawatan kanser, 2000 berkesan sebagai kontraseptif dan lebih 600 spesies pula berpotensi untuk pengguguran janin. Penemuan ubat-ubatan baru daripada tumbuhan telah menimbulkan kesedaran baru kepada pelbagai pihak khasnya syarikat-syarikat farmaseutikal daripada negara-negara barat untuk menjalankan kajian penyaringan biologi terhadap tumbuhan ubat-ubatan secara besar-besaran.
TEMPAT REKREASI DAN PELANCONGAN
Apabila taraf hidup penduduk di sesebuah negara meningkat maka sudah pasti permintaan untuk rekreasi dan pelancongan juga turut meningkat. Peranan hutan sebagai tempat rekreasi dan pelancongan perlulah diuruskan dengan baik tetapi tidak semua kawasan hutan sesuai dijadikan kawasan rekreasi. Banyak negara telah menetapkan kawasan yang tertentu untuk tujuan rekreasi dan pelancongan. Biasanya, tempat yang menjadi tumpuan pelancong ialah kawasan hutan yang mempunyai air terjun dan terletak di kawasan pergunungan untuk berkelah, berkhemah, dan bersiar-siar. Manakala kawasan hutan yang mempunyai jeram, sungai dan belukar sesuai untuk memancing.
Malaysia misalnya mempunyai khazanah hutan yang tertua di dunia, maka perkembangan ini tentunya menggalakkan industri pelancongan yang kini menjadi sumber pendapatan negara. Para pelancong asing akan datang melawat negara kita semata-mata untuk melihat keindahan hutan semula jadi yang berpotensi sebagai pusat pelancongan yang boleh mendatangkan keuntungan yang lumayan. Selain dapat menyelami Hutan Hujan Tropika, para pelancong juga boleh menikmati keindahan hutan pantai dan hutan gunung di Malaysia, seperti Pantai Desaru, Taman Negara Bako, Gunung Kinabalu, dan Bukit Fraser. Manakala penduduk yang terdedah kepada kesibukan dan kesesakan kota boleh menenangkan minda dan lari dari bayangan kota dengan berkunjung ke tempat-tempat rekreasi yang menghijau ini.
KAWASAN PENYELIDIKAN SAINTIFIK
Hutan juga boleh dijadikan kawasan penyelidikan semula jadi kerana terdapat beribu-ribu spesies tumbuhan berubat dan haiwan di dalamnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa hutan boleh dianggap sebagai sebuah makmal penyelidikan ahli sains kerana keluasannya serta mengandugi pelbagai bahan untuk penyelidikan. Jumlah sebenar hidupan yang mendiami sesuatu kawasan hutan hanya boleh dianggarkan berdasarkan persampelan yang kecil dengan tempoh kajian yang terhad .
Penemuan-penemuan baru tentang ubat-ubatan berasaskan sumber hutan tentunya boleh meningkatkan imej sesebuah negara. Contohnya, penemuan ubat anti-malaria di kawasan Hutan Hujan Tropika iaitu kuinin (Chincona ledgeriana) yang terbukti mujarab. Hutan Belum yang baru ditemui di negeri Perak merupakan salah satu
hutan yang telah dikenal pasti mempunyai banyak sumber ubat-ubatan terutama dalam perubatan tradisional.
Monday, March 8, 2010
Pengenalan
Hutan dalam pengertian yang luas merangkumi kawasan yang ditumbuhi oleh pokok-pokok liar yang terbiar, rimba yang menjadi habitat semula jadi flora dan fauna. Hutan merupakan aset negara yang tidak ternilai dan ia diwarisi sejak turun-temurun lagi. Hari ini, isu hutan menjadi isu global yang sering diperkatakan.
Secara umumnya, hutan meliputi 3625 juta hektar atau 27.7% daripada kawasan muka bumi yang tidak diliputi ais. Hutan tropika meliputi 53.4% daripada jumlah kawasan hutan ini, manakala 25.4% adalah hutan boreal dan 21.2% pula terdiri daripada hutan temperat. Selain itu, terdapat 650 juta hektar lagi hutan yang terdiri daripada belukar, tumbuhan renek dan sebagainya.
Seperti yang kita ketahui, hutan merupakan khazanah alam dan warisan semula jadi yang mempunyai banyak kepentingan dan kegunaannya kepada manusia dan makhluk –makhluk lain. Contohnya, hutan berperanan penting dalam kehidupan manusia dengan membekalkan sumber bahan mentah seperti kayu-kayan, rotan, buluh, buah-buahan, kayu api, damar, gam, sayur-sayuran, minyak pati, dan tumbuhan ubat-ubatan. Hasil hutan ini merupakan punca bahan makanan, perlindungan, bahan api, dan perubatan asas. Sumber tersebut telah membantu manusia membina tamadun yang tingggi seperti masa kini. Di samping itu, hutan juga turut berperanan dalam menyeimbangkan ekologi persekitaran.
Memandangkan hutan merupakan penyumbang utama kepada sosioekonomi dan kestabilan ekologi persekitaran, maka hutan adalah satu khazanah yang amat berharga yang perlu dijaga dengan baik dan bersistematik.
2. Hutan Malaysia penting kerana mempunyai ekosistem sendiri, menjadi habitat flora dan fauna, terdapat sumber perhutanan, tempat perlindungan hidupan liar, kawasan tadahan hujan, penghalang hakisan, kawasan eko-pelancongan dan sumber perubatan.