Home

There was an error in this gadget

Fish

Wednesday, March 10, 2010

Hutan Dan Kegunaannya

HUTAN DAN KEGUNAANNYA :

MEMBEKALKAN GAS OKSIGEN KE ATMOSFERA
Salah satu kepentingan hutan yang paling utama ialah membekalkan gas
oksigen ke atmosfera yang diperlukan oleh manusia dan juga haiwan. Ia juga turut mengimbangi kandungan gas di udara.
Semasa proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan mengggunakan gas karbon dioksida untuk membuat makanan dan membebaskan gas oksigen sebagai bahan buangan. Manakala, manusia dan haiwan pula membebaskan gas karbon dioksida dan menggunakan gas oksigen semasa proses respirasi. Proses respirasi dan fotosintesis menunjukkan saling kebergantungan di antara manusia dan haiwan dengan tumbuh-tumbuhan untuk terus hidup. Proses ini berlaku secara berulang-ulang, menyebabkan bekalan oksigen dalam udara sentiasa mencukupi untuk kegunaan kehidupan seperti proses pernafasan dan membantu pembakaran. Jika hutan tiada, sudah pasti gas karbon dioksida akan menjadi berlebihan dalam udara yang menyebabkan berlakunya peningkatan suhu udara dan membawa kesan buruk kepada manusia dan hidupan liar.


HABITAT SEMULA JADI HIDUPAN LIAR
Pelbagai jenis hidupan liar hidup di kawasan hutan kerana hutan
menyediakan sumber makanan yang diperlukan oleh haiwan. Hutan juga merupakan tempat perlindungan dan pembiakan bagi hidupan liar. Hidupan liar pada amnya didefinisikan sebagai merangkumi kesemua haiwan liar daripada kumpulan mamalia, reptilia, amfibia, burung, ikan, invertebrata, termasuk juga tumbuh-tumbuhan liar.
Hutan membekalkan makanan kepada haiwan yang memakan daun, buah-buahan, putik bunga, bijian, pucuk, dan pelbagai bahagian lain pokok. Manakala haiwan jenis karnivor dapat hidup kerana tumbuhan semula jadi membantu pembiakan haiwan herbivor. Kewujudan rantaian makanan sememangnya menjadi satu lumrah kehidupan bagi hidupan mansa dan pemangsa.
Contohnya, menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati hutan di Malaysia menjadi habitat 3000 spesies tumbuhan berbunga, dan 2500 daripadanya adalah dari jenis berpokok kerana di hutan tumbuhan dapat hidup disebabkan kesuburan tanahnya. Tumbuhan ini adalah unik kerana ia tidak ditemui di mana-mana pelusuk dunia kecuali di Malaysia. Bagi melengkapkan ekosistem, haiwan telah menjadi penghuni setia hutan belantara ini. Terdapat sejumlah 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 30 spesies katak, dan 80 spesies cicak. Serangga pula merupakan komuniti haiwan yang terbesar di mana sesetengah kumpulan mengandungi lebih daripada 1000 spesies.


MENYEIMBANGKAN MIKRO IKLIM SESUATU TEMPAT
Memang tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan semula jadi di hutan mempunyai pengaruh ke atas keadaan cuaca dan iklim sesuatu tempat kerana pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan mampu mengubahsuaikan iklim mikro sesuatu tempat.
Melalui proses transpirasi, air dari tanah melalui tumbuh-tumbuhan akan terserap ke udara dan air di permukaan daun juga akan tersejat ke udara dan ini menambahkan lagi kelembapan udara. Ini kerana pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan mengawal sinaran matahari melalui proses serapan, pemantulan dan pemindahan. Pada hari yang panas, sebatang pokok mungkin menyerap beratus-ratus liter air dari tanah dan kebanyakannya akan tersejat ke atmosfera. Ini sudah pasti akan memberikan kesan penyejukan kepada kawasan sekitarnya. Secara bandingannnya, suhu di kawasan hutan adalah lebih rendah kerana litupan tumbuh-tumbuhan yang banyak.
Di samping itu, pertambahan oksigen di atmosfera bumi yang berpunca daripada prosese fotosintesis akan memastikan pengurangan karbon dioksida secara tidak langsung. Ini kemudiannya dapat mengurangkan risiko berlakunya fenomena "kesan rumah kaca" atau "kesan rumah hijau". Dengan itu, peningkatan suhu bumi dapat dikawal.
Hal yang sama terjadi di bandar-bandar besar, di mana hutan sangat berguna sebagai agen pembersih udara kerana daun-daun dan dahan-dahan pokok bertindak sebagai penyaring udara kotor. Hal ini menunjukkan bahawa hutan mampu mengimbangi iklim sesuatu kawasan di samping merendahkan suhu dan menyamankan udara berbanding dengan kawasan yang hutannnya telah ditebang. Biasanya suhu adalah lebih tinggi dan kawasan tersebut menjadi lebih panas.

KAWASAN TADAHAN AIR HUJAN DAN MENCEGAH HAKISAN
Hutan juga berperanan sebagai kawasan tadahan air hujan dan mencegah hakisan tanah. Hutan adalah pengawal aliran air yang berkesan kerana hutan berfungsi seperti span besar yang menyerap air di hutan pada musim hujan dan mengalirkannya perlahan-lahan ke dalam anak sungai. Seterusnya bertindak sebagai penuras yang menapis air hujan bagi memastikan air bersih dan jernih mengalir ke kawasan tadahan.
Fungsi yang penting ini tidak dapat diganti oleh oleh tanaman seperti getah dan kelapa sawit. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa pengaliran air di permukaan di kawasan getah dan kelapa sawit adalah lebih deras berbanding di kawasan berhutan.
Contohnya, krisis kekurangan air yang berlaku di Melaka pada tahun 1992 adalah disebabkan 80% kawasan tadahan Empangan Durian Tunggal telah ditanam dengan getah dan kelapa sawit. Kekurangan lapisan hutan telah menyebabkan pengaliran
air yang tidak sekata ke Sungai Bakung dan Sungai Air Putih. Akibatnya, sedikit sahaja air yang mengalir ke kawasan tadahan Durian Tunggal, Melaka.
Hutan juga dapat mencegah hakisan tanah kerana daun-daun dan dahan-dahan pokok menyekat air hujan lalu melambatkan kadar kelajuan air hujan yang jatuh ke permukaan bumi. Akar-akar pokok pula dapat menyerap air hujan di samping mencengkam tanah dan memperkukuhkan tanah supaya sukar dihakis.

SUMBER MAKANAN
Di hutan banyak terdapat buah-buahan liar yang boleh dimakan dan selalunya dikumpulkan oleh masyarakat tempatan sebagai sumber makanan. Di negeri Sabah misalnya, terdapat kira-kira 200 spesies tumbuhan hutan yang boleh di makan buahnya.
Antara contoh buah-buahan hutan yang sedia popular di Malaysia amnya pada masa kini tetapi masih belum ditanam secara meluas ialah kelubi (Zalacca conferta), salak hutan (Z. affinis), petai (Pithecellobium jajanica dan P. singularis), keredas (P. bubalinum), dan jering (P. jiringa). Untuk buah-buahan ini, hutan masih menjadi sumber utama bagi mendapatkannya. Malah banyak buah-buahan yang telah ditanam berasal daripada waris liar dari hutan tropika, contohnya durian (Durio zibethinus), rambutan (Nephelium lappaceum), langsat/duku (Lansium domesticum), dan mangggis (Garcinia mangastana). Di Sabah, banyak buah-buahan yang terdapat di pasaran berasal dari hutan dan belum ditanam secara meluas. Antaranya ialah terap (Artocarpus odoratissimus), bambangan (Mangifera decandra), beluno (M. caesia), liposu (Baccaurea angulata), dan kembang semangkuk (Scaphium macropodum).
Selain buah-buahan, ulam juga menjadi bahan makanan yang penting sebagai sumber vitamin dan juga sumber ubatan masyarakat tempatan. Contohnya daun kadok (Piper sarmentosum), daun pegaga (Hydrocotyle asiatica), putat (Barringtonia spp), selom (Oenanthe javanica), menkudu (Morinda elliptica), cekur (Sauropus androgynus), ulam raja (Cosmos caudatus), kantan (Phaeomaria speciosa), dan daun kesom (Polygonum minus) adalah antara ulam yang paling popular. Di hutan di Malaysia terdapat lebih 50 jenis ulam yang sesuai sebagai bahan makanan tetapi kurang popular.

SUMBER KAYU-KAYAN, ROTAN, DAN BULUH
Kawasan hutan mempunyai pelbagai sumber bahan mentah yang boleh digunakan oleh manusia. Melalui hutan, manusia boleh memperolehi hasil-hasil hutan seperti kayu balak, buluh, rotan dan sebagainya yang boleh membantu kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana hasil-hasil hutan tersebut mempunyai nilai komersial pada masa kini dan permintaan terhadap hasil-hasil hutan tersebut begitu tinggi sama ada pasaran tempatan mahupun luar negeri.
Kewujudan pelbagai spesies tumbuhan berpokok di hutan menunjukkan hutan sememangnya kaya dengan kayu-kayannya. Misalnya, balak merupakan hasil hutan yang terpenting dan berharga pada masa kini kerana ia merupakan kegiatan ekonomi yang penting bagi setiap negara seperti Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia, India, dan Filipina. Antara jenis kayu balak yang mendapat nilai kemersial adalah sperti jati, keruing, cengal, merbau, penaga, keledang, dan balau. Kayu-kayu balak yang dihasilkan terdiri daripada kayu keras dan lembut. Pengeluar kayu balak keras yang terbesar di dunia ialah Malaysia dan Indonesia. Manakala bahagian Asia Utara (Rusia) adalah pengeluar kayu balak lembut yang utama di dunia. Kegunaan hasil balaknya adalah untuk membuat bangunan atau rumah, landasan kerta api, alat-alat perabot, papan lapis, kertas dan lain-lain lagi.
Di samping itu, hutan juga merupakan sumber hasil-hasil hutan yang lain seperti rotan, buluh, mengkuang, dan lain-lain lagi. Di Asia Tenggara contohnya, kira-kira 20 spesies rotan dianggap sebagai spesies komersial yng berharga. Kesemua spesies yang digunakan dalam industri adalah daripada genus Calamus yang mempunyai kira-kira 60 spesies kesemuanya. Rotan sangat bernilai terutamanya kepada industri perabot dan kraftangan. Negara-negara di Asia Tenggara dianggarkan mengeksport rotan bernilai kira-kira US$60 juta setahun, 90% daripadanya adalah oleh Indonesia. Ini tidak termasuk jumlah hasil siap guna seperti perabot, yang dianggarkan bernilai US$4 bilion setahun, menjadikan hasilan yang kedua penting selepas kayu-kayn dan balak.
Selain rotan, terdapat hasil hutan lain yang sangat bernilai. Antaranya ialah kayu gaharu atau karas yang digunakan sebagai bahan pewangi. Harga sebatang kayu gaharu (gred 4) boleh mencapai $25 000 (pada kadar $2 per g). Selain kayu gaharu terdapat beberapa spesies kayu hutan lain yang dapat mengeluarkan minyak pewangi dan berpotensi sebagai bahan dagangan.

SUMBER TUMBUHAN UBAT-UBATAN
Hutan bukan sahaja menjadi sumber pembekal bahan makanan dan pembinaan tetapi juga menjadi sumber tumbuhan ubat-ubatan yang berharga. Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama berkembang sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Contohnya, Pertubuhan Kesatuan Sedunia menganggarkan kira-kira 70-80% dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas. Manakala di China sistem tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40% daripada masalah kesihatan dan penjagaan kesihatan.
Negara China, India dan Indonesia telah lama mempelopori bidang perubatan tradisional dan memajukan tumbuhan ubat-ubatan sebagai industri. Di China misalnya, perubatan tradisional yang banyak menggunakan sumber tumbuhan sudah mengakar lebih dari 5000 tahun. Di India dengan Ayurvedanya, sejumlah 8000 herba sudah dikenal pasti berupaya memgubati penyakit sejak berabad-abad lampau. Begitu juga di Malaysia, turut memiliki tidak kurang dari 7000 spesies tumbuhan yang dikira dapat menghasilkan unsur-unsur perubatan.
Hutan sememangnya merupakan gedung semula jadi yang memainkan perana penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden.Sebelum perkembangan kimia sintesis di akhir abad yang lepas, penyediaan ubat-ubatan moden dari tumbuhan hanyalah menerusi prosese pengekstrakan bahan-bahan aktif dari tumbuhan tersebut. Setelah kimia sintesis berkembang, bahan-bahan aktif dari tumbuhan telah disintesis secara separa atau sepenuhnya dan analog baru yang lebih berkesan dan selamat juga telah berjaya dikeluarkan. Tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan moden menerima saingan yang kuat daripada ubat-ubatan sintetik dan pada suatu masa seolah-olah kesemua ubat moden boleh didapati dari sumber sintetik. Walau bagaimanapun tumbuhan ubatan tetap mempunyai peranan di dalam pembangunan ubat-ubatan moden menerusi cara-cara berikut :
Sebagai sumber terus ubat-ubatan moden seperti murfina, strofantin, atrofin, dan digitoksin.
Sebagai sumber bahan mula untuk sintesis ubat-ubatan yang lebih berkesan dan lebih selamat.
Sebagai model bahan bioaktif untuk program sintesis ubat-ubatan moden.
Oleh yang demikain timbuhan ubat-ubatan memainkan peranan yang penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden yang baru. Kebanyakan ubat-ubatan moden yang telah disintesis berasal daripada bahan-bahan aktif tumbuhan.
Kepentingan tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan moden tidak boleh disangkal lagi. Pada masa ini, terdapat 121 jenis ubat moden yang telah berjaya dihasilkan daripada 95 spesies tumbuhan dan sebahagian besar daripadanya masih tidak dapat dihasilkan secara sintetik. Kini sebanyak 23 jenis ubatan moden daripada 45 ubat-ubatan moden yang dikaji daripada Hutan Hujan Tropika telah diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA) untuk penggunaan di Amerika Syarikat.
Di antara bahan terpenting yang digunakan oleh perubatan moden ialah alkaloid - biokompaun yang dihasilkan oleh banyak kategori tumbuh-tumbuhan. Biom hutan tropika contohnya mengandungi bilangan tumbuh-tumbuhan beralkaloid terbanyak dan pada kepekatan tertinggi berbanding man-mana biom lain. Alkaloid tumbuh-tumbuhan mempunyai aplikasi perubatan, ini termasuklah dalam penghasilan kokain, kuinin, kafein, nikotin, efedrin, dan reserpin. Alkaloid yang paling terkenal barangkali ialah vinkristin dan vinblastin. Alkaloid ini adalah hasil derivatif sejenis bunga tropika , "rosy periwinkle" atau dikenali sebagai kemunting Cina atau tapak dara yang mempunyai 2 jenis iaitu satu berbunga merah jambu dan satu lagi berwarna putih. Pohon ini berkerabat dengan pohon Madagaskar Periwnkle (Catharantus roseus G Don). Ia memberi peluang sembuh 80% kepada kanak-kanak yang menghidap sakit leukimia. Kedua-duanya juga digunakan secara meluas di dalam rawatan kanser payudara, rahim, dan testikular. "Rosy Periwinkle" diketahui dari bomoh-bumoh asli di Madagascar dan Jamaica. Ubat yang dihasilkan dari tumbhan ini mencapai nilai US$90 bilion pada tahun 1970 dan dianggarkan jumlah ini meningkat 15% setiap tahun.
Selain itu, kalanolida dan kastatolida dan terbitannya dari pokok bintagor (Calophyllum lanigerum) yang mempunyai anti-AIDS dan "taxol" Daripada Taxus brevifolia untuk mengubat barah. Sekurang-kurangnya 1400 spesies tumbuhan tropika dipercayai berpotensi untuk rawatan kanser, 2000 berkesan sebagai kontraseptif dan lebih 600 spesies pula berpotensi untuk pengguguran janin. Penemuan ubat-ubatan baru daripada tumbuhan telah menimbulkan kesedaran baru kepada pelbagai pihak khasnya syarikat-syarikat farmaseutikal daripada negara-negara barat untuk menjalankan kajian penyaringan biologi terhadap tumbuhan ubat-ubatan secara besar-besaran.

TEMPAT REKREASI DAN PELANCONGAN
Apabila taraf hidup penduduk di sesebuah negara meningkat maka sudah pasti permintaan untuk rekreasi dan pelancongan juga turut meningkat. Peranan hutan sebagai tempat rekreasi dan pelancongan perlulah diuruskan dengan baik tetapi tidak semua kawasan hutan sesuai dijadikan kawasan rekreasi. Banyak negara telah menetapkan kawasan yang tertentu untuk tujuan rekreasi dan pelancongan. Biasanya, tempat yang menjadi tumpuan pelancong ialah kawasan hutan yang mempunyai air terjun dan terletak di kawasan pergunungan untuk berkelah, berkhemah, dan bersiar-siar. Manakala kawasan hutan yang mempunyai jeram, sungai dan belukar sesuai untuk memancing.
Malaysia misalnya mempunyai khazanah hutan yang tertua di dunia, maka perkembangan ini tentunya menggalakkan industri pelancongan yang kini menjadi sumber pendapatan negara. Para pelancong asing akan datang melawat negara kita semata-mata untuk melihat keindahan hutan semula jadi yang berpotensi sebagai pusat pelancongan yang boleh mendatangkan keuntungan yang lumayan. Selain dapat menyelami Hutan Hujan Tropika, para pelancong juga boleh menikmati keindahan hutan pantai dan hutan gunung di Malaysia, seperti Pantai Desaru, Taman Negara Bako, Gunung Kinabalu, dan Bukit Fraser. Manakala penduduk yang terdedah kepada kesibukan dan kesesakan kota boleh menenangkan minda dan lari dari bayangan kota dengan berkunjung ke tempat-tempat rekreasi yang menghijau ini.

KAWASAN PENYELIDIKAN SAINTIFIK
Hutan juga boleh dijadikan kawasan penyelidikan semula jadi kerana terdapat beribu-ribu spesies tumbuhan berubat dan haiwan di dalamnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa hutan boleh dianggap sebagai sebuah makmal penyelidikan ahli sains kerana keluasannya serta mengandugi pelbagai bahan untuk penyelidikan. Jumlah sebenar hidupan yang mendiami sesuatu kawasan hutan hanya boleh dianggarkan berdasarkan persampelan yang kecil dengan tempoh kajian yang terhad .
Penemuan-penemuan baru tentang ubat-ubatan berasaskan sumber hutan tentunya boleh meningkatkan imej sesebuah negara. Contohnya, penemuan ubat anti-malaria di kawasan Hutan Hujan Tropika iaitu kuinin (Chincona ledgeriana) yang terbukti mujarab. Hutan Belum yang baru ditemui di negeri Perak merupakan salah satu
hutan yang telah dikenal pasti mempunyai banyak sumber ubat-ubatan terutama dalam perubatan tradisional.

1 comment:

  1. Copy paste......
    Copy paste......
    Doing my school prject......

    ReplyDelete